Masjid Jamek Sultan Mansor perlukan dana RM450,000

KOTA BHARU - Masjid Jamek Sultan Mansor Kampung Sireh di sini memerlukan sumbangan sebanyak RM450,000 bagi merealisasikan beberapa inisiatif utama demi keselesaan jemaah dan komuniti setempat.
Imam Tua, Sabri Abdullah berkata, masjid tersebut yang beroperasi sejak 1 Februari 1985, kini dalam perancangan untuk melaksanakan pembinaan panel baharu di hadapan ruang solat utama dan menaik taraf dewan terbuka menjadi dewan serbaguna.
Menurutnya, sebahagian perbelanjaan juga diperlukan untuk mengubah suai taman mini dan membeli van jenazah baharu.
“Jumlah kos keseluruhan dianggarkan sebanyak RM450,000 dan kita mengalu-alukan sumbangan ikhlas daripada orang ramai.
“Semoga setiap sumbangan yang diberikan menjadi amal jariah yang berterusan,” katanya pada Isnin.
Sabri memberitahu, Masjid Jamek Sultan Mansor Kampung Sireh merupakan salah satu masjid bandar di bawah seliaan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).
Ujarnya, tapak asal masjid itu merupakan rumah kerajaan yang didiami pegawai kepada Almarhum Sultan Yahya Petra sebelum dibangunkan menjadi masjid.
“Masjid ini dirasmikan pada 15 Rejab 1405 Hijrah bersamaan 5 April 1985 oleh Almarhum Sultan Ismail Petra,” katanya.
Menurut beliau, orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkannya melalui akaun Bank Muamalat atas nama Masjid Sultan Mansor bernombor 03010006283716 atau menghubungi talian 013-9832919 atau 011-17802464.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!