Pelajar hasilkan 110 kad nama khat hargai guru, kakitangan sekolah

SETIAP akhir sesi persekolahan, Hamzah Razif, 13, mempunyai tradisi unik yang dimulakannya sejak tahun satu lagi.
Pelajar tahun enam sebuah sekolah rendah di Kuala Langat, Selangor itu tidak akan melepaskan peluang untuk menghasilkan kad atau penanda buku mengandungi kaligrafi khat yang ditulisnya sendiri sebagai tanda penghargaan buat guru-gurunya.
Bagaimanapun, pada sesi persekolah 2024/2025, Hamzah perlu mengerah lebih banyak tenaga apabila dia menghasilkan 110 kepingan kad nama khat bukan sahaja untuk gurunya, tetapi seluruh kakitangan di sekolah berkenaan.

Ibunya yang hanya mahu dikenali sebagai Fariza berkata, minat Hamzah terhadap tulisan Jawi mula dikesan sejak kecil lagi.
“Dia mula menulis khat pada hujung Tahun 1 iaitu sekitar umur 7 tahun. Sekarang dia sudah 12 tahun nak masuk 13 tahun, masih belajar dan memperbaiki kemahiran seni khat.
“Buat masa ini, dia berguru dengan beberapa tok guru khat di sekitar Lembah Klang, termasuk Shah Alam dan Bangi untuk mendalami khat Nasakh dan Riq'ah. Hamzah juga pernah sampai ke Nilai, Negeri Sembilan untuk berguru,” katanya kepada Sinar Islam Plus pada Khamis.
Sebenarnya ada cerita di sebaliknya mengapa Hamzah menulis ratusan karya kaligrafi pada projek kali ini.
Rupanya kanak-kanak itu pada awalnya bercadang untuk menghasilkan sebanyak 13 kad khas buat guru-guru yang mengajarnya.

Namun begitu, ujar Fariza, guru kelasnya memberikan senarai penuh nama semua guru dan kakitangan sekolah menyebabkan misi projek khat Hamzah pun bermula.
“Dalam masa empat hari, Hamzah siapkan cenderahati berupa kad nama khat sebanyak 110 keping. Dia menggunakan masanya pada waktu petang dan malam untuk menyiapkannya.
“Hamzah tulis nama-nama guru dan kakitangan sekolah dalam tulisan khat Diwani Jali. Ada yang salah (tulis), buat semula. Ada yang tidak cantik, dia cuba lagi,” katanya sambil menjelaskan semua cenderahati itu selamat diserahkan kepada guru dan kakitangan sekolah pada Khamis minggu lalu.
Sebagai ibu, jelas Fariza, beliau sentiasa memberi sokongan dalam apa jua bidang diminati oleh Hamzah.

“Menjadi peranan ibu bapa untuk melihat dan memerhati minat serta kecenderungan anak-anak, kemudian kembangkannya sedikit demi sedikit,” ungkapnya.
Dalam pada itu, Fariza turut mengucapkan terima kasih buat semua guru khat termasuk ustaz dan ustazah Hamzah yang membimbing anaknya untuk terus mengembangkan bakatnya tanpa jemu serta lelah.
“Terima kasih juga buat semua penggiat seni khat tanah air yang telah memberi ilmu khat bermanfaat sama ada secara bersemuka mahupun dalam alam maya,” titipnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!