Global Sumud Flotilla: Kapal Sunflower hanya bertindak sebagai kapal penyokong

Iklan
Sani Araby

SEPANG – Kapal Sunflower yang sebelum ini mencetuskan tanda tanya dalam kalangan netizen disahkan bukan sebahagian daripada rombongan rasmi Global Sumud Flotilla (GSF), sebaliknya hanya bertindak sebagai kapal penyokong.

Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, kapal berkenaan dikategorikan sebagai kumpulan gelombang kedua yang menyertai pelayaran secara berasingan daripada 46 kapal utama flotilla.

Iklan
Iklan

"Dia ada dua definisi. Satu, kapal daripada kumpulan lain yang bersama dengan gerakan GSF sebagai contoh Gabungan Freedom Flotilla.

"Mereka akan bergabung tetapi bukan dengan kumpulan misi GSF. Mereka disebut sebagai gelombang kedua.

Iklan

"Sunflower juga bukan sebahagian daripada misi rasmi GSF, namun ia sama seperti Gabungan Freedom Flotilla. Kita hanya mengiktiraf kapal itu apabila ia masuk dalam sistem penjejak GSF,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Gudang Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) Malaysia pada Isnin.

Iklan

Kemunculan kapal Sunflower dalam sistem pengesan GSF yang sebelum ini mencetus tanda tanya dalam kalangan pengguna media sosial yang mengikuti misi kemanusiaan tersebut.

Sani Araby yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Mapim berkata, jumlah rasmi kapal GSF kekal kepada 46 buah selepas kapal pemerhati, Johnny M, mengalami kerosakan teknikal dan tidak lagi dapat digunakan.

Beliau turut menegaskan atas faktor keselamatan, butiran lokasi penempatan peserta termasuk 34 rakyat Malaysia yang menyertai misi berkenaan tidak akan didedahkan buat masa ini.

"Untuk tujuan keselamatan misi ini, kita tidak maklumkan siapakah 34 orang itu dan tidak dedahkan mereka berada di kapal mana.

"Seluruh delegasi itu, kita tidak perincikan kedudukan sebenar mereka tetapi insya-ALLAH, tujuan sidang akhbar ini diadakan adalah untuk kita maklumkan perkembangan dari masa ke semasa," ujarnya.